JOHOR BAHRU, 4 Jun: Kerajaan Negeri Johor sentiasa sedia memberi pandangan berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, khususnya dalam isu pembukaan sempadan.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, biarpun perkara tersebut melibatkan Kerajaan Persekutuan (Kuala Lumpur) dan Singapura, namun kepentingan negeri ini yang bersempadanan dengan Kota Singa itu tidak dapat dinafikan.

”Alhamdulillah setakat ini banyak perkara yang telah dicapai dan kita masih menunggu reaksi daripada Kerajaan Singapura untuk membuka laluan kepada hampir 200,000 rakyat di negeri ini yang perlu bekerja di sana (Singapura),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi ‘Industry Roundtable’ bersama-sama pemain industri di Johor di Hotel Doubletree By Hilton, di sini hari ini.

Sesi Rountable tersebut dihadiri oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. 

Sesi tersebut juga membolehkan pemain industri di negeri ini melontarkan persoalan dan pandangan mengenai situasi semasa keadaan ekonomi di negeri ini pasca COVID-19.

Dalam pada itu, YAB Datuk Haji Hasni juga berharap berita baik mengenai projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura yang akan diteruskan dapat memberi kelebihan daripada segi ekonomi di negeri ini.

”Projek ini (RTS) dapat menjadi satu agen perubahan bagi negeri Johor khususnya dalam sektor pembinaan, bekalan dan pelbagai sektor lain yang terlibat.

”Selain itu, Kerajaan Negeri Johor akan memastikan ekonomi terbuka terus dapat berjalan dan diharap mampu menjadi satu kekuatan untuk negeri ini,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini