KOTA ISKANDAR, 5 Ogos: Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad yakin Kempen Johor E-Marketplace yang memberi peluang kepada usahawan memasarkan produk menerusi platform dalam talian bersesuaian dengan aspirasi Kerajaan Negeri Johor menerapkan budaya digital dalam kalangan rakyat.

Dalam mencapai hasrat tersebut, beliau turut mengumumkan pembentukan Majlis Digital Johor, termasuk dalam usaha merealisasikan misi besar Kerajaan Negeri Johor untuk memiliki sebuah Bank Digital pada masa akan datang.

”Bagi membolehkan usaha untuk mewujudkan Bank Digital ini menjadi kenyataan, ia perlulah mempunyai masyarakat yang mempunyai gaya hidup dan menggunakan segala aspek digital sebagai gaya hidup seharian mereka

“Penubuhan Majlis Digital Johor ini juga akan membantu kerajaan negeri merealisasikan hasrat mewujudkan Bank Digital di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Kempen Johor E-Marketplace di ruang legar Aras 1, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Azmi Rohani merangkap Pengerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, YB Tuan Mohd. Izhar Ahmad.

Pada majlis tersebut, YAB Menteri Besar turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB), iaitu anak syarikat kumpulan Permodalan Darul Ta’zim (PDT) dengan Shopee Malaysia yang menganjurkan Kempen Johor E-Marketplace menerusi platform e-dagang Shopee berkenaan.

PUJB diwakili Pengarah Eksekutifnya, Tuan Haji Ashari Kasnan, manakala Shopee Malaysia oleh Ketua Kluster Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FMCG), Encik Tan Ming Kit.

Johor E-Marketplace, sebuah laman mikro khas yang menampilkan puluhan ribu produk hasil buatan peniaga Johor dalam pelbagai kategori seperti makanan ringan, fesyen serta peralatan rumah merupakan inisiatif YB Tuan Mohd. Izhar akan berlangsung dari 9 Ogos hingga 31 Disember ini.

YAB Menteri Besar turut meminta golongan usahawan negeri ini merebut peluang dengan menyertai Kempen Johor E-Marketplace bagi meningkatkan kualiti, nilai dan daya saing produk masing-masing.

Katanya, kewujudan Johor E-Marketplace ini diyakini mampu memberikan impak positif dan memacu pertumbuhan ekonomi di Johor apatah lagi negeri ini merupakan antara kuasa baharu ekonomi Malaysia selain kedudukannya yang strategik, termasuk berjiran dengan sebuah negara maju, Singapura.

”Kempen Johor E-Marketplace ini juga merupakan penanda aras penerimaan rakyat di seluruh negara terhadap produk Johor. Justeru, Kerajaan Negeri Johor berharap golongan usahawan perlu bersikap lebih proaktif dalam menyediakan diri untuk lebih berdaya saing.

”Usaha tersebut tidak akan berjaya jika usahawan tidak memainkan peranan dalam memastikan perniagaan yang diceburi mempunyai tahap kemampanan (sustainability) menerusi pembentukan pelan tindakan pembangunan perniagaan (business blueprint) yang jelas dan mempunyai visi,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini