JOHOR BAHRU, 26 Julai – Prosedur operasi standard (SOP) pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura bagi dua skim, iaitu Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) telah dimuktamadkan oleh kedua-dua negara.

Menteri Luar, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kedua-dua pihak kini merancang untuk mengeluarkan garis panduan tentang syarat dan cara membuat permohonan di bawah kedua-dua skim tersebut dalam masa terdekat.

”Menerusi kesepakatan yang dicapai hari ini, dijangkakan pergerakan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura akan bermula paling awal pada 17 Ogos ini.

“Rakyat Malaysia yang layak memohon di bawah kedua-dua skim tersebut boleh menghantar permohonan kepada Jabatan Imigresen bermula 10 Ogos ini,” katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Iskandar, Bukit Chagar, di sini hari ini.

Terdahulu YB Dato’ Seri Hishammuddin diiringi oleh Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan di Tambak Johor.

Perlaksanaan RGL akan membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara, manakala PCA bagi penduduk yang memegang pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan kerja di salah sebuah negara, memasuki negara itu.

YB Dato’ Seri Hishammuddin berkata, sebagai permulaan bagi kategori pertama seramai 400 orang dibenarkan dalam seminggu, manakala kategori kedua melibatkan 2,000 orang sehari.

“Sekiranya kategori pertama dan kedua mematuhi disiplin dan semua SOP ditetapkan termasuk kes COVID-19 yang tidak tinggi, keputusan untuk membenarkan kategori ketiga dan keempat akan dipertimbangkan.

“Bagi skim ketiga dan keempat, kerajaan Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara sebelum dilaksanakan. Ini kerana berkait rapat soal keselamatan dan kesihatan memandangkan situasi COVID-19 jelas masih belum reda, dalam erti kata lain ia memerlukan masa,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini