JOHOR BAHRU, 30 Julai: Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad yakin perlaksanaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) mampu memberi limpahan ekonomi serta peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Beliau menyambut baik keputusan kerajaan Malaysia dan Singapura yang bersetuju memuktamadkan pembinaan projek tersebut hari ini turut menyifatkan keputusan berkenaan adalah satu berita gembira kepada rakyat Johor.

“Perlaksanaan RTS ini adalah satu berita gembira bagi rakyat Johor kerana merupakan projek yang dapat memberi impak amat besar kepada negeri Johor daripada aspek penglibatan sektor-sektor dalam pembangunan projek RTS ini.

“Kita sedia maklum apabila pembangunan ini melibatkan pembinaan depoh rel di Wadi Hana di Johor, ia memberi kita satu harapan bahawa peluang pekerjaan itu dapat disediakan selain kepakaran-kepakaran baharu dalam bidang yang ditawarkan oleh pembangunan ini juga memberi peluang kepada rakyat Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Memuktamadkan Projek RTS, di sini hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor akan sentiasa memberi kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembinaan projek itu berjalan lancar.

“Saya amat yakin dan percaya bahawa melihat persiapan dan juga jadual perlaksanaan projek,  Kerajaan Negeri akan membantu memberikan sepenuh kerjasama agar projek akan dapat dijalankan dengan lancar dan jayanya,” katanya.

Terdahulu, YAB Menteri Besar mengiringi Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin; Menteri Pengangkutan, YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato ’Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Luar, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein pada majlis simbolik penyambungan Projek RTS di Tambak Johor.

Pihak Singapura pula diwakili Perdana Menterinya, Encik Lee Hsien Loong; Menteri Pengangkutan, Encik Ong Ye Kung; Menteri Luar, Dr. Vivian Balakrishnan dan mantan Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan Encik Khaw Boon Wan.

Projek RTS merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer yang merupakan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, iaitu dianggap laluan darat tersibuk di dunia.

Projek berkenaan yang menelan kos sebanyak RM3.7 bilion menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands, Singapura itu sepatutnya bermula tahun lalu, namun tertangguh beberapa kali. –  Makmur Johor

Kongsi berita ini