MUAR, 8 Ogos: Kerajaan Negeri Johor menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi menjayakan program Pembudayaan Norma Baharu Peringkat Negeri yang dilancarkan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.

Replika cek peruntukan tersebut disampaikan oleh YAB Perdana Menteri kepada Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad sebelum disusuli oleh 12 penerima lain mewakili negeri masing-masing.

Penerima lain termasuk Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Dato’ Sri Dr. Santhara J.P yang mewakili Menteri Wilayah Persekutuan; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dr. Haji Izani Husin mewakili Menteri Besar Kelantan.

Diikuti Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, YB Dr. Haji Alias Razak mewakili Menteri Besar Terengganu dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan YB Tuan Haji Ismail Ahmad mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan.

Selain itu, turut menerima peruntukan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Dato’ Haji Abdul Halim Hussain dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Norolazali Sulaiman yang mewakili Ketua Menteri dan Menteri Besar masing-masing.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka mewakili Ketua Menteri Melaka, YB Datuk Seri Haji Abdul Ghafaar Atan; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak mewakili Menteri Besar Perak, YB Dato’ Haji Mohd Zolkafly Harun.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah mewakili Menteri Besar Kedah, YB Datuk Brigedier Jeneral Dato’ Haji Najmi Ahmad; Menteri Muda Sarawak mewakili Ketua Menteri Sarawak, YB Tuan Abdullah Saidol.

Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah mewakili Ketua Menteri Sabah, YBrs. Encik Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis mewakili Menteri Besar Perlis, YBrs. Encik Ahmad Zakaria.

Yang turut hadir, Menteri Kanan Kluster Pertahanan merangkap Pengerusi Kempen Pembudayaan Norma Baharu, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah; Menteri Kesihatan, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali serta para pemimpin peringkat komuniti dan penduduk setempat.

Pada majlis berkenaan, YAB Perdana Menteri juga melancarkan Buku Pembudayaan Norma Baharu Komuniti yang diterbitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, YAB Datuk Haji Hasni turut mengiringi YAB Perdana Menteri melawat pameran pembuatan pelitup muka fabrik. – Makmur Johor

Kongsi berita ini