KOTA ISKANDAR, 14 Jun: Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS) harus cakna dan kreatif dalam menyelesaikan permasalahan  yang timbul akibat pandemik COVID-19.

Menteri Besar, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, mereka juga harus bekerja dua kali lebih pantas kerana kekangan masa bagi membantu menyelesaikan masalah seperti isu pengangguran, sosial, ekonomi dan pelbagai lagi sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerajaan yang ada sekarang tiba di pertengahan penggal. Taklimat-taklimat jabatan, agensi atau GLC yang berjela-jela tidak akan produktif melainkan gerak kerja dan perancangan yang sedia ada segera dilaksanakan.

“Ingatlah, rakyat di luar sana mengharap benar kepada kecekapan kita. Kerana sepatutnya, kitalah yang sentiasa menurut perintah dan ikhlas berkhidmat demi mereka,” katanya dalam Amanat YAB Menteri Besar Johor, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar turut menggesa semua pihak termasuk kakitangan awam supaya fokus dan komited bekerja demi kemakmuran Johor.

“Buat penjawat awam dan para pentadbir, sama ada dalam GLC, agensi-agensi mahupun jabatan-jabatan, bekerjalah. Pesan saya itu sahaja. Bekerjalah sekuat boleh untuk kemakmuran Johor. Usah diendahkan suara-suara politik.

“Kekal fokus untuk perbaiki diri. Tambah ilmu dan tambah kemahiran. Kerana kita punya matlamat yang sama. Kita mahu potensi tersirat Negeri Johor digilap seadanya,” katanya.

YAB Menteri Besar turut meminta pegawai kerajaan negeri supaya sentiasa mengukur prestasi serta merealisasikan semua yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Mampan 2019-2030 dan menyelesaikan titik sentuh dalam Belanjawan Negeri Johor 2020.

“Setiap kekurangan, kelebihan dan tindakan harus diukur agar yang kurang boleh ditambah, yang lemah boleh diperkuatkan.

“JCS juga harus sentiasa menyampaikan yang benar belaka, yang fakta dan yang objektif semata. Kerana apa yang mereka kata, fikir dan lakukan adalah cerminan Kerajaan Negeri Johor,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini