KOTA ISKANDAR, 23 Julai: Kerajaan Negeri Johor meletakkan agenda kepentingan rakyat sebagai fokus utama dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif yang ditetapkan dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, usaha tersebut dilaksanakan bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat yang sememangnya merupakan rakan kongsi utama Kerajaan Negeri Johor selama ini.

”Proses pemantauan prestasi para pegawai kerajaan di semua peringkat akan dijalankan secara berterusan dalam memastikan semua jentera agensi pelaksana menjalankan tugas mereka dengan berkesan.

”Mesyuarat KPI turut membincangkan mengenai keutamaan Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan projek-projek yang mampu memberi impak positif kepada rakyat dalam pelbagai sektor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor telah membentangkan perkembangan terbaharu inisiatif-inisiatif di bawah portfolio masing-masing dalam Mesyuarat KPI  yang diadakan pada 19 dan 20 Julai lalu.

Menurut beliau, kesemua inisiatif  itu menunjukkan perkembangan positif apabila hampir separuh daripadanya telah dapat dilaksanakan dengan jayanya.

”Mesyuarat itu penting dalam memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik oleh semua peringkat pelaksana.

“Setiap inisiatif juga diteliti bagi membolehkannya dapat direalisasikan dalam tempoh lima bulan termasuk mewujudkan jawatankuasa khas sekiranya perlu,” katanya.

Sebanyak 234 inisiatif telah dibentangkan dan daripada jumlah itu, 183 inisiatif terdapat dalam Belanjawan Johor 2020, manakala 51 lagi merupakan tambahan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor.  – Makmur Johor

Kongsi berita ini