KOTA ISKANDAR, 6 Julai: Agenda Mesyuarat Pertama Ibrahim Johor Economic Council (IJEC) yang berlangsung hari ini bakal menjadi asas penting bagi Bajet Johor 2021.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, hasil perbincangan dalam mesyuarat IJEC melibatkan 12 tokoh, termasuk seorang ahli jemputan daripada Kementerian Kewangan Malaysia dan pemain industri itu bakal menjadi penanda aras bagi Kerajaan Negeri Johor dalam merangka bajet tersebut.

”Perbincangan sebentar tadi merangkumi soal bantuan kepada industri kecil dan sederhana (IKS),  sektor kesihatan dan pelancongan. Kita akan memastikan tiada golongan yang akan diketepikan, tidak kira mereka yang berada di bandar dan luar bandar.

”Sebagai makluman, menerusi sektor kesihatan, Kerajaan Negeri Johor akan bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti KPJ Healthcare Berhad menerusi program Kad Sihat yang dijangka memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama IJEC di Hotel Jen by Shangri-La, di sini hari ini.

Mesyuarat kedua IJEC dijangka diadakan dalam tempoh dua bulan lagi.

YAB Menteri Besar menambah, selain tumpuan peruntukan bagi  sektor IKS sebanyak RM1 bilion, Kerajaan Negeri Johor turut memberi tumpuan dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini.

”Pembukaan sempadan antara Johor dan Singapura amat penting bagi sektor pelancongan di negeri ini. Ia juga penting kepada lebih 20,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

”Justeru, Kerajaan Negeri Johor berharap persetujuan antara kedua-dua negara, Malaysia dan Singapura ditangani segera dalam usaha membantu pertumbuhan sektor pelancongan,” katanya.

Kerajaan Negeri Johor juga memberi tumpuan terhadap sektor pelancongan domestik, terutamanya menarik pengunjung dari Lembah Klang,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini