KOTA ISKANDAR, 4 Mei: Masyarakat tidak perlu bimbang dan gusar untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital atau klinik kerajaan di negeri ini kerana tidak semuanya mengendalikan kes berkaitan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, pada masa ini hanya empat fasiliti kesihatan membabitkan tiga hospital dan sebuah institut latihan kesihatan digunakan untuk mengendalikan kes COVID-19 di negeri ini.

Beliau berkata, fasiliti kesihatan berkenaan adalah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, (HEBHK), Kluang; Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru; Hospital Permai, Tampoi dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Johor Bahru.

“Walaupun dalam keadaan kita berhadapan dengan COVID-19, masyarakat tidak perlu bimbang dan gusar kerana terdapat sembilan fasiliti kesihatan di negeri ini terus mengendalikan kes-kes lain, termasuk kes kecemasan.

“Hospital  berkenaan adalah Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru;  Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar; Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Hospital Segamat, Hospital Kota Tinggi, Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai; Hospital Mersing, Hospital Pontian dan Hospital Tangkak.

“Selain itu, terdapat 10 pejabat kesihatan daerah, 98 klinik kesihatan, 261 klinik desa, 33 klinik komuniti dan dua pusat hemodialisis di seluruh Johor yang terus memberikan pelbagai perkhidmatan kesihatan kepada lebih tiga juta rakyat,” katanya.

YB Vidyananthan berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sebanyak 8,905 kelahiran direkodkan di semua fasiliti kesihatan di negeri ini.

“Daripada jumlah itu, 6,044 kelahiran adalah di hospital kerajaan, manakala 3,792 kes pembedahan kecemasan dan separa kecemasan dilaksanakan di hospital kerajaan sepanjang tempoh yang sama,” katanya.

Beliau berkata, selain itu seramai 1,856 kakitangan kesihatan yang terdiri daripada pelbagai jawatan ditugaskan sebagai barisan hadapan bagi menguruskan kes-kes COVID-19 di negeri ini.

Daripada jumlah itu, seramai 284 orang doktor, jururawat kesihatan/ ketua jururawat kesihatan (819), jururawat masyarakat (83), penolong pegawai perubatan (165), pembantu pegawai kesihatan persekitaran (268), pembantu kesihatan awam (65), pembantu perawatan kesihatan (7),  pemandu (24) dan lain-lain jawatan (132).

Kongsi berita ini