KOTA ISKANDAR, 13 September: Kerajaan Negeri Johor sedang menjalankan Kajian Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi mengkaji prestasi kewangan dan peranannya dalam usaha pemulihan ekonomi negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, kajian itu melibatkan usaha untuk meningkatkan nilai tambah GLC bagi memastikan strategi syarikat berkenaan selari dengan hasrat Kerajaan Negeri.

”Selain itu, kajian ini bertujuan menubuhkan satu bentuk struktur GLC yang lebih efektif dan efisien. Mewujudkan satu rangka kerja dasar dan governans yang konsisten untuk semua GLC.

”Mengukuhkan dan membentuk satu rangka kerja pemantauan dan akauntabiliti serta menaik taraf ketelusan hasil dan usaha setiap GLC yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kekhuatiran YB Tuan Chew Chong Sin (Mengkibol-PH) berkenaan pretasi GLC di negeri Johor dalam ucapan penggulungan rundingan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2020 pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, antara GLC yang terlibat ialah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Permodalan Darul Takzim (PDT), Perbadanan Islam Johor Holdings (PIJ) dan Yayasan Pelajaran Johor Holdings (YPJ). 

“(Kajian) termasuklah State Secretary Incorporated (SSI) sebagai institusi induk pelaburan Kerajaan Negeri Johor.

”Pemilihan GLC-GLC di atas adalah atas rasional, ia mempunyai kapasiti pelaburan yang paling besar kepada kerajaan. Selain itu, kapasiti dan struktur mereka harus dikukuhkan supaya dapat memberi upaya pelaburan yang lebih baik kelak,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini