JOHOR BAHRU, 18 September: “Saya akan bertemu dengan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd.Yassin bagi mengemukakan cadangan supaya pelajar yang berulang-alik secara harian antara Johor dan Singapura dapat kembali meneruskan sesi persekolahan.”

Demikian menurut Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkenaan isu institusi pendidikan antarabangsa di sini yang tidak dapat meneruskan sesi persekolahan kerana pintu sempadan antara Johor dan Singapura masih belum dibuka sepenuhnya.

Beliau berkata, hingga kini hanya dua kategori, iaitu  Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) sudah dilaksanakan bagi tujuan rentas sempadan antara kedua-dua negara manakala bagi perjalanan ulang-alik harian masih belum ada persetujuan antara Malaysia dan Singapura.

“Adalah satu kerugian bagi kerajaan Johor jika institusi pendidikan bertaraf antarabangsa itu terpaksa ditutup operasinya.

“Jadi untuk itu Johor akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan supaya dapat memberi keutamaan dan pertimbangan kepada 800 hingga 900 pelajar yang berulang-alik seperti yang kita harapkan. 

“Saya akan bertemu dengan Perdana Menteri dalam masa yang terdekat ini untuk menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri berkenaan perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Kelab Media Johor (KMJ) 2019/2020 di Hotel Holiday Villa, di sini malam tadi.

Pada majlis itu, YAB Menteri Besar turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media di negeri ini yang komited dalam melaporkan berita-berita berkenaan Kerajaan Negeri.

“Pengamal media di Johor ini tidak pernah jemu dalam membantu kerajaan negeri menyampaikan berita-berita, informasi yang penting, termasuk program serta dasar-dasar kerajaan untuk pengetahuan umum.

“Saya amat berterima kasih atas peranan yang dimainkan pengamal-pengamal media kerana peranan pengamal media ini amat penting dalam mencorak pemikiran rakyat. 

“Lebih penting lagi, maklumat-maklumat yang disampaikan adalah maklumat yang tepat, adil dan saya rasa mampu untuk menjadi rujukan masyarakat secara umumnya. Terima kasih, pengamal-pengamal media,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Tuan Haji Mazlan Bujang; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, YB Datuk Haji Samsolbari Jamali; Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Presiden KMJ, Mohd. Fauzi Ishak.- Makmur Johor.

Kongsi berita ini