KOTA ISKANDAR, 13 September: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini bersetuju memilih  Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Haji Jefridin Atan sebagai Ahli Dewan Negara.

Persetujuan dibuat selepas usul memilih beliau dicadangkan Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad pada persidangan DUN Johor Ke-14, di sini.

Pemilihan berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 1(2) Jadual 7 Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan YAB Menteri Besar disokong  oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, YB Datuk Haji Samsolbari Jamali.

Datuk Jefridin, 52, berpengalaman luas dalam bidang politik serta memainkan peranan aktif menyampaikan pelbagai isu kepada agensi kerajaan.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian dari Universiti Malaya pada tahun 1991 dan Diploma Pendidikan dari universiti yang sama.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Perkhidmatan Siswazah dari tahun 1999 hingga tahun 2005.

Seterusnya beliau bertugas sebagai Setiausaha Sulit dan Pegawai Khas kepada YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri Kelima) bermula pada tahun 2001 hingga kini,” katanya.

Beliau pernah menjadi Yang Dipertua Majlis Belia Daerah Pontian, Ahli Majlis Permuafakatan Belia Johor dan Belia 4B Daerah Pontian dan Negeri Johor.

Hingga kini beliau aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI), Penaung Pertubuhan Silat Kebangsaan (PESAKA) Daerah Pontian dan seorang sukarelawan RELA daerah Pontian.

Pada sidang sama, Ketua Pembangkang Johor, YB Aminolhuda Hassan turut mencadangkan satu nama lain, iaitu bekas Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Selahuddeen Abdul Aziz untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Namun, usul itu ditolak oleh Speaker Dewan Negeri, YB Suhaizan Kayat.

Beliau menegaskan, hanya satu nama dikemukakan dalam usul berkenaan, iaitu Datuk Jefridin dan hanya nama tersebut yang dipilih. –Makmur Johor

Kongsi berita ini