KOTA ISKANDAR, 5 Mei: Semua pihak yang diberi kelonggaran untuk membuka premis masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan atau bakal dikenakan tindakan tegas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, jika gagal mematuhi SOP berkenaan, mereka boleh  dikenakan tindakan undang-undang.

“Paling penting pastikan kebersihan premis, pengurusan pelanggan yang merangkumi aspek penjarakan sosial dan transaksi tanpa sentuhan, saringan kesihatan dan penggunaan hand sanitizer.

“Ketidakpatuhan SOP yang ditetapkan akan menyebabkan tindakan undang-undang diambil ke atas pemilik premis,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook, Makmur Johor, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi bersepadu secara rambang dijalankan di tiga  lokasi terpilih di daerah Kulai semalam, dua premis diberikan notis penutupan kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Operasi bersepadu ini dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Susulan operasi ini, dua notis penutupan telah dikeluarkan ke atas dua premis di bawah Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” tegasnya.

Mengenai keputusan Kerajaan Negeri Johor mengikut langkah melaksanakan PKPB seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, YB Vidyananthan menjelaskan bahawa keputusan itu bukan dibuat secara sambil lewa, tetapi telah mengambil kira pelbagai pandangan daripada semua agensi dan kementerian yang terlibat dalam pengurusan COVID-19.

“Langkah pelaksanaan PKPB ini akan dibuat secara bersepadu melibatkan kerjasama PBT, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, PDRM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan semua jabatan/ agensi keselamatan yang terlibat secara langsung.

“Dalam pelaksanaan PKPB, beberapa syarikat dan premis perniagaan yang ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu akan beroperasi semula dengan beberapa syarat dan peraturan khusus,” katanya.

Menurutnya, sedikit kelonggaran yang diberi semasa pelaksanaan PKPB bukan ‘tiket’ bagi orang ramai untuk bergerak bebas.

“Sebaliknya, ini adalah tempoh bagi kita untuk mula mempraktikkan dan menyesuaikan diri dengan norma baharu,” katanya.

Kongsi berita ini