KOTA ISKANDAR, 14 Mei: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) digesa mengetepikan segala kepentingan diri dan politik serta harus berganding bahu untuk membantu rakyat yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, sekarang bukan masa untuk bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi kerana tindakan itu akan melahirkan satu virus yang lebih berbahaya, iaitu virus perpecahan.

“Virus ini nampaknya telah pun menular dalam kalangan pemimpin politik apabila berlakunya pergolakan dan perebutan kuasa yang merunsingkan rakyat serta menggugat kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara.

“Mereka yang dijangkiti virus ini akan lupa diri dan tidak akan pedulikan tentang kepentingan rakyat asalkan mereka dapat apa yang dikejar untuk kepentingan diri sendiri,” titah Sultan Ibrahim ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Baginda bertitah, virus perpecahan itu boleh merebak melalui saluran media sosial yang bebas dengan dibantu oleh ejen media dan cyber troopers yang menjadi batu api membangkitkan isu sensasi untuk menambah api kebencian dalam kalangan pemimpin politik dengan rakyat. 

“Saya berharap virus perpecahan tersebut dapat dibendung bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan hidup rakyat yang telah dibina sekian lama.

Sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, Sultan Ibrahim turut berharap semua ADUN menunjukkan teladan yang baik dengan menjaga adab dan tata tertib semasa bersidang supaya DUN Johor menjadi contoh kepada negeri ini.

“Pada ketika ini kita masih lagi berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diwartakan kerajaan Persekutuan bagi menangani penularan wabak COVID-19.

“Namun, persidangan DUN hari ini terpaksa saya panggil bagi memenuhi syarat yang termaktub dalam Fasal 23(1) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor yang mana tidak boleh dibiarkan Dewan ini (DUN Johor) tidak mengadakan mesyuaratnya selama enam bulan dari tarikh mesyuarat yang terakhir,” titah baginda.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Hadir sama ialah Perdana Menteri, YAB  Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ADUN Gambir.

Kongsi berita ini