KULAI, 12 Nov: Kerajaan Negeri tidak akan meminggirkan warga tempatan dalam setiap rancangan pembangunan di negeri ini, termasuk di daerah Kulai.
Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, antara perkara yang turut dibincangkan bersama-sama pimpinan daerah adalah langkah mengimbangi keselamatan penduduk tempatan dengan kebanjiran tenaga kerja asing hasil pelaburan pesat di daerah itu, khususnya di kawasan Senai.
Menurutnya, Kulai adalah antara daerah yang memiliki kawasan industri yang penting bagi negeri ini.
“Kita bermesyuarat tapi kita bukan fikir soal pelaburan sahaja. Kita berfikir mengenai dengan adanya pelaburan ini, kehadiran ramai pekerja asing adakah masyarakat tempatan selamat?
“Kehadiran warga-warga asing ini yang diambil bekerja menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memikirkan keselamatan masyarakat setempat.
“Kita melihat bagaimana cara dan apakah langkah-langkah yang perlu kita ambil tentang keselamatan warga tempatan itu terus terjaga walaupun pembangunan terus datang dan mengalir ke daerah Kulai, khususnya di Senai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Hak Milik Tapak Rumah (Tapak Ganti) Generasi Kedua Felda Inas sempena lawatan kerja sehari ke daerah Kulai, semalam.
-
Hasni Mohammad menyampaikan geran kepada Juraidah Masrani, antara penerima geran Hak Milik Tapak Rumah (Tapak Ganti) Generasi Kedua Felda Inas di Dewan Semai Bakti Felda Inas, Kulai, semalam. - Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM
YAB Menteri Besar berkata, antara perkara yang turut dibangkitkan ialah cadangan untuk menaik taraf daerah Kulai menjadi sebuah bandar raya.
“Pemimpin daerah Kulai ini kalau boleh mahu Majlis Perbandaran Kulai dinaik taraf menjadi Majlis Bandaraya Kulai.
“Boleh sahaja kita pertimbangkan tetapi dengan syarat, kebajikan, kepentingan dan kemudahan orang ramai juga sudah tersedia, barulah molek daerah ini menjadi bandar raya.
“Tetapi kalau setakat gah pada nama sahaja sedangkan sampahnya bersepah, paritnya sumbat atau jalan yang berlubang lubang, macam mana kita hendak jadi sebuah bandar raya?,” katanya.
Yang turut hadir ialah Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Tosrin Jarvanthi; Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor, YB Dato’ Haji Mohammed Ridha Abd. Kadir; Pegawai Daerah Kulai, Tuan Haji Zainor Adani dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai, Tuan Haji Natazha Harris.-Makmur Johor



