KULAI, 12 November: Kulai menjadi daerah kelapan dikunjungi Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad dalam rangka lawatan ke daerah-daerah menjelang pembentangan Belanjawan Johor 2022.
Lawatan YAB Menteri Besar Johor dimulakan dengan meninjau pembangunan projek Pusat Pentadbiran Baharu Daerah Kulai yang terletak di Persiaran Indahpura dan dijangka siap penghujung tahun depan.
-
Hasni Mohammad melakukan lawatan ke tapak Pameran Rancangan Tempatan dan Pembangunan Daerah Kulai di Senai Business Aviation Terminal di sini, semalam. - Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
YAB Menteri Besar kemudiannya bertolak ke Terminal Penerbangan Perniagaan Senai bagi melawat pameran Rancangan Tempatan Daerah dan Pembangunan Daerah Kulai.
Beliau turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan para pemain industri di daerah Kulai.
Seperti daerah-daerah lain sebelum ini, YAB Menteri Besar turut mendengar taklimat mengenai dasar Belanjawan Johor 2022 yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), YB Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim.
Beliau turut mendengar taklimat tentang Projek Pembangunan RP 1: RMK 12 yang disampaikan oleh Pengarah Pembangunan Negeri Johor, Haji Rahman Mohd. Din dan Hala Tuju Pembangunan Daerah Kulai yang disampaikan oleh Pegawai Daerah, Haji Zainor Adani.
-
Hasni Mohammad bergambar bersama penerima Geran Usahawan Kecil Yayasan Sejahtera di Sekolah Agama Bandar Kulai 1, semalam. - Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
YAB Menteri Besar kemudiannya ke Sekolah Agama Bandar Kulai 1 bagi merasmikan dua buah Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ), iaitu Sekolah Agama Pulai Emas dan Sekolah Agama Batu 26, Kelapa Sawit.
Terdahulu beliau mendengar taklimat daripada Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) tentang pembangunan SAKJ di seluruh negeri ini.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan geran Usahawan Kecil Yayasan Sejahtera Kulai sebanyak RM500 setiap seorang kepada 10 usahawan di daerah ini.
-
Hasni Mohammad melihat pameran anak jati Felda Inas yang di adakan di Dewan Semai Bakti Felda Inas di sini semalam. - Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
YAB Menteri Besar kemudiannya bergerak ke lokasi terakhir, iaitu ke Felda Inas bagi mengunjungi Pameran Pencapaian Anak Muda Felda Inas dan menyerahkan hak milik tapak rumah (tapak ganti) generasi kedua Felda berkenaan.
YAB Menteri Besar turut beramah mesra bersama-sama peneroka Felda Inas, termasuk mendengar saranan mereka dalam memajukan lagi tanah rancangan tersebut. - Makmur Johor.



