JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad mengadakan lawatan  ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini hari ini.

Dalam lawatan itu beliau diberi taklimat berkaitan perkembangan terkini pengoperasian oleh jabatan-jabatan terlibat di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

Antara jabatan yang memberi penerangan ialah Jabatan Imigresen Negeri Johor, Jabatan Kastam Diraja Negeri Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Antara perkara yang dibangkitkan termasuk prosedur pergerakan pemandu dan kelindan kenderaan perdagangan yang memasuki laluan BSI dan KSAB.

Turut dibincangkan perkembangan terkini pergerakan rentas sempadan menerusi dua skim, iaitu Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Pada majlis itu, YAB Menteri Besar turut meninjau kaunter ujian saringan Swab untuk PCA dan RGL yang dibuka Kementerian Kesihatan di BSI.

Lawatan berkenaan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan a/l Ramanandhan dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, YB Tuan Mohd. Solihan Badri.- Makmur Johor

Kongsi berita ini