KOTA ISKANDAR, 7 Sept: Kerajaan Negeri akan terus membantu Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan agensi-agensi berkenaan dengan meningkatkan kapasiti dan memperbaharui kualiti kesihatan awam Johor.
Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, antara langkah yang akan diambil termasuk melakasanakan Virtual-CAC (V-CAC) untuk mengurangkan kehadiran secara fizikal di kesemua 11 CAC di seluruh negeri ini.
Menurutnya, inisiatif itu telah memberi impak secara langsung bagi meringankan bebanan petugas barisan hadapan di CAC dan memudahkan usaha pengesanan kontak rapat untuk dilakukan.
“Kedua, JKNJ akan sentiasa bekerjasama dengan Jawatankuasa Bencana Daerah yang dipengerusikan oleh pegawai-pegawai daerah agar setiap usaha menangani pandemik dapat diselaraskan sampai ke peringkat akar umbi.
“Ini termasuklah mengaktifkan peranan pemimpin-pemimpin masyarakat menerusi Inisiatif Pemimpin Advokasi COVID-19 (IPAC) bagi pembudayaan norma baharu dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14, di sini hari ini.
Katanya, pembudayaan norma baharu di kawasan-kawasan industri dan tempat-tempat kerja akan terus dilipatgandakan menerusi program Johor Industrial Preparedness Plan (JIPP).
“JIPP menekankan tanggungjawab industri untuk mengambil tindakan pencegahan dan kawalan lebih ketat bagi menangani COVID-19 di tempat kerja.
“Selain itu, bagi melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pula, COVID-19 Immunisation Taskforce (CITF) Negeri Johor dan JKNJ telah bertungkus-lumus untuk memastikan kapasiti pemberian vaksin negeri sentiasa dipertingkatkan dan diperbaharui secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata, untuk meluaskan lagi capaian dan kadar vaksinasi negeri, JKNJ telah melaksanakan inisiatif pemberian vaksin secara ‘walk-in’ sejak beberapa hari lepas.
“Inisiatif ini akan diadakan di daerah-daerah seperti Kulai, Segamat, Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Mersing. Inisiatif ini adalah sejajar dengan gesaan CITF Pusat agar penekanan diberikan kepada program jangkauan di tujuh negeri termasuk Johor, ” katanya.
YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM14 juta untuk menjalankan tiga inisiatif bagi meringankan bebanan JKNJ dan agensi berkaitan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0.
“Inisiatif tersebut adalah pembelian COVID-19 Test Kit dan RTK Antigen bagi tujuan ujian bersasar oleh JKNJ, pembelian COVID-19 Test Kit dan RTK Antigen kepada penduduk daerah Johor Bahru oleh tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) dan perbelanjaan operasi untuk Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sekatan jalan raya (SJR) dan kebajikan para petugas barisan hadapan,” katanya. - Makmur Johor.


