KOTA ISKANDAR, 7 September: Kerajaan Negeri Johor bersedia untuk melaksanakan reformasi Dewan Negeri Johor mengikut kesesuaian dan keperluan semasa bagi menambah baik libat urus Kerajaan.

YAB Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, penambahbaikan yang dilakukan termasuklah dengan penganjuran beberapa sesi taklimat bersama wakil-wakil rakyat di Johor.

“Taklimat-taklimat ini bertujuan untuk berkongsi maklumat dan memberikan gambaran semasa berkenaan situasi semasa pentadbiran Kerajaan Negeri di luar takwim persidangan Dewan Negeri.

“Kerajaan Negeri komited untuk sentiasa mendengar pandangan Ahli-Ahli Yang Berhormat Pembangkang menerusi sesi-sesi taklimat dan perbincangan yang akan dilakukan pada masa akan datang. Yang terdekat adalah dalam gerak kerja Kerajaan Negeri untuk merangka Belanjawan Johor 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Mesyuarat Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini. 

YAB Menteri Besar menambah, Kerajaan Negeri juga akan membentuk sebuah Jawatankuasa Khas bagi meneliti saranan dasar-dasar sosial dan ekonomi pasca-COVID-19 negeri Johor.

“Jawatankuasa khas ini akan dianggotai oleh Ketua Pembangkang, Ahli-Ahli Yang Berhormat Pembangkang, Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan dan Ketua-Ketua Jabatan Agensi Persekutuan dan Negeri yang berkaitan,” katanya.

Kongsi berita ini