KOTA ISKANDAR, 7 September: Kerajaan Negeri akan memperluaskan inisiatif dalam membantu rakyat yang berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19, termasuk peniaga kecil yang tidak berdaftar di negeri ini.
Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, Kerajaan Negeri menerusi Pejabat Daerah akan mengenal pasti peniaga kecil yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, sebelum ini, bantuan telah disalurkan kepada peniaga kecil yang berdaftar di negeri ini.
“Inisiaitif ini turut akan dikukuhkan lagi menerusi bantuan yang akan disalurkan kepada imam, bilal dan noja yang tidak menerima bantuan dan elaun daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga bercadang untuk memperluaskan program tuisyen pendidikan di peringkat sekolah rendah dan menengah di bawah kelolaan Yayasan Pelajaran Johor. Pendidikan agama dan al-Quran secara maya oleh Bahagian Pendidikan Islam JAIJ turut akan diperluaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Mesyuarat Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.
YAB Menteri Besar berkata, inisiatif membantu golongan yang memerlukan turut diperluaskan dengan memberi khidmat sokongan kepada golongan yang trauma akibat kehilangan keluarga disebabkan pandemik COVID-19.
“Program yang akan diadakan adalah dengan menyantuni golongan kanak-kanak yang menjadi yatim piatu akibat kematian ibu bapa mereka. Program ini akan digerakkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Selain itu Kerajaan Negeri akan melaksanakan inisiatif bagi membantu golongan barisan hadapan yang sanggup berkorban dalam menjalan tugas pada era pandemik selain bercadang untuk menambah peruntukan di bawah Program Menangani Bencana Negeri Johor, ” katanya. - Makmur Johor.


