KOTA ISKANDAR, 4 Mei: Johor bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hari ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kesiapsiagaan agensi-agensi di negeri ini mendepani sebarang kemungkinan termasuk mempunyai kapasiti pusat kuarantin dan kepakaran perubatan yang mencukupi.

Namun, menurut beliau, PKPB di negeri ini akan dilaksanakan mengikut kemampuan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membuat penguatkuasaan selain menangani penularan wabak COVID-19.

“Langkah melaksanakan PKPB ini merupakan usaha secara bersepadu, bermakna Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara akan bekerjasama dalam menjayakan PKPB ini.

“Di Johor juga kita akan memberi penekanan yang lebih kepada  soal penjagaan sempadan berikutan kita berjiran dengan Singapura selain mempunyai pusat pendaratan antarabangsa yang banyak. Untuk itu, kita telah pun memastikan bahawa agensi-agensi berkaitan juga mempunyai tenaga yang cukup dan juga telah meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan adalah aspek yang diambil kira dalam melaksanakan PKPB ini dan keupayaan PBT dan Jabatan Kesihatan adalah penting untuk mejayakan SOP PKPB di negeri Johor.

“Sekiranya SOP itu perlu dilakukan pengubahsuaian, maka pihak kerajaan telah memberi kuasa atau pun cadangan kepada PBT untuk mereka boleh berbuat demikian.

“Contohnya, di kawasan seperti di Pasir Gudang sektor ekonomi membabitkan perkilangan dibuka sepenuhnya, namun di Kota Tinggi,  PBT di sana mungkin hanya memberi kebenaran kepada sesetengah industri berdasarkan kemampuan mereka membuat penguatkuasaan,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri akan memperkenalkan aplikasi pengesanan kontak bagi mengesan dan mengetahui tentang sejarah pergerakan dan kontak rapat individu untuk tujuan keselamatan.

“Selain aplikasi pengesanan kontak MySejahtera yang diperkenalkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri juga mengambil inisiatif untuk membangunkan satu aplikasi tersendiri untuk pengesanan kontak yang dinamakan Jejak Johor.

“Perincian tentang perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat. Unit Sains Teknologi  & ICT Negeri Johor akan memperincikan aplikasi ini,” katanya.

Sementara itu,  Menteri Besar berkata,  Johor akan tetap mewajibkan kuarantin 14 hari ke atas rakyat Malaysia yang pulang ke negara ini menerusi negeri ini, terutamanya mereka  yang bekerja di Singapura dalam tempoh PKPB.

“Pusat kuarantin di Johor masih mencukupi.  Kita tidak akan membenarkan kuarantin di rumah sama sekali bagi mengawal penularan COVID-19 di negeri ini,” tegasnya

Kongsi berita ini