KULAI, 12 September: Kerajaan Negeri Johor berharap dua buah asrama bagi penuntut di Mesir dan Jordan dapat dinaik taraf selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah memperkenankan kerja-kerja naik taraf asrama tersebut.

Beliau berkata, menerusi tinjauan yang dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, kedua-dua asrama itu amat memerlukan penambahbaikan.

“Justeru, saya telah membawa usul ini kepada DYMM Sultan Johor dan ia telah diperkenankan. Saya berharap usaha menaik taraf ini dapat segera dilakukan sekurang-kurangnya sebelum akhir tahun ini.

“Saya juga akan memastikan usaha penambahbaikan sekolah-sekolah agama di negeri ini yang dijalankan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) diteruskan dan tidak ada yang ditangguhkan pembinaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Hari Terbuka Hal Ehwal Agama Islam Peringkat Negeri Johor di Dewan Raya Bandar Putra Kulai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Tosrin Jarvanthi; Pegawai Kewangan Negeri Johor, Dato’ A. Rahim Nin dan Pegawai Daerah Kulai, Mohd. Radzi Mohd. Amin.

Dalam pada itu, YAB Menteri Besar turut memuji usaha Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkasakan dan mengangkat syarikat Islam di negeri ini.

“Usaha sebegini baik dalam membuka ruang kepada rakyat di negeri ini untuk mengendalikan dengan lebih mendalam berhubung fungsi dan peranan jabatan-jabatan di bawah Majlis Agama Islam Negeri Johor.

“Saya berharap usaha ini dapat diteruskan di semua daerah. Orang ramai juga diharap dapat mengambil peluang untuk mengenali dengan lebih dekat berhubung usaha-usaha memartabatkan syariat Islam di negeri ini,” katanya.- Makmur Johor

Kongsi berita ini