KOTA ISKANDAR, 18 Nov: Belanjawan Johor 2022 yang dibentangkan hari ini berpandukan empat impetus ekonomi baharu dan 12 agenda utama.
Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, strategi bagi mempersiapkan negeri dan rakyat Johor akan dipacu oleh empat impetus ekonomi baharu sebagai pemangkin kebangkitan Johor secara inklusif dan holistik.
Menurutnya, penumpuan terhadap impetus itu berdasarkan kesedaran dan kecaknaan tentang impak besar yang boleh dibawa dalam usaha memulihkan dan memperkukuhkan ekonomi Johor.
“Impetus ini terdiri daripada yang pertama, Memperkasakan Perlindungan Sosial dan Pemberdayaan Modal Insan, Mempertingkatkan Jaminan Bekalan Makanan Johor, Memperluas Pendigitalan dan Memperbaharui Ekosistem Pelaburan dan Ekonomi Hijau.
“Pada masa yang sama, 12 Agenda Kebajikan, Keberdayaan dan Keberhasilan Utama yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 juga bakal diteruskan dan ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan Johor 2022 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.
-
Foto Muhammad Razif Razali/ Muhammad Aidil Hussain - MEDKOM
Belanjawan Johor 2022 yang bertemakan ‘Memperhebat Kesejahteraan Johor’ mengunjurkan hasil negeri berjumlah RM1.671 bilion, manakala perbelanjaan berjumlah RM1.958 bilion.
“Senario ini menunjukkan Belanjawan 2022 adalah Belanjawan defisit, iaitu sebanyak RM286.47 juta.
“Walau bagaimanapun, anggaran hasil dan defisit kami ini tertakluk kepada tahap ketidakpastian yang tinggi, disebabkan beberapa faktor seperti kemungkinan kemunculan varian baharu dan impak sosioekonominya, keadaan ekonomi peringkat negara dan antarabangsa dan pembukaan sempadan antarabangsa terutamanya dengan Singapura,” katanya.
Mengenai prestasi Belanjawan Johor 2021, YAB Menteri Besar berkata, sebanyak 141 inisiatif dengan peruntukan RM850 juta telah mencapai 85.1 peratus tahap pelaksanaannya hingga suku ketiga 2021. - Makmur Johor




