KOTA ISKANDAR, 18 November: Kerajaan Negeri bersetuju memberi peruntukan tetap sebanyak RM200,000 setiap tahun kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk daripada parti pembangkang.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, peruntukan tersebut bagi memastikan prinsip dan semangat pendemokrasian YB ADUN Johor memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Menurutnya, peruntukan itu bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran di kawasan DUN mereka serta peruntukan kerja-kerja kecil dan bekalan.

“Sebagai tambahan, bagi Belanjawan 2022, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan tambahan sebanyak RM50,000 bagi setiap YB ADUN.

“(Peruntukan tambahan) Bagi tujuan perayaan-perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan lain-lain.

“Perkara ini akan dibawa melalui Jawatankuasa Pilihan yang mana Jawatankuasa tersebut akan membuat ketetapan berkaitan perkara ini untuk dibawa ke Dewan Negeri,” katanya.

Beliau berkata ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

YAB Menteri Besar menambah, Kerajaan Negeri Johor juga bersetuju untuk menjemput ADUN Pembangkang menyertai mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).

“Saya percaya bahawa semangat Muafakat Bangsa Johor dapat meningkatkan kesediaan kita untuk menangani pelbagai cabaran masa depan,” katanya. - Makmur Johor.

Kongsi berita ini