KOTA ISKANDAR, 18 November: Kerajaan Negeri Johor menambah jumlah penerima bagi program bantuan Kasih Johor daripada 300,000 menjadi 450,000 orang yang terdiri daripada golongan B40 bermula tahun depan.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, di bawah agenda Johor Berkebajikan, sebanyak RM90 juta akan diperuntukkan menerusi Belanjawan 2022 bagi menjayakan program tersebut.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Johor juga akan meneruskan pemberian wang tunai secara ‘one-off’ kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga yang berpendapatan dari RM3,001- RM7,000 pada tahun depan.

“Inisiatif ini adalah bagi melengkapkan bantuan awal persekolahan yang diberi oleh Kerajaan Persekutuan bagi golongan yang berpendapatan di bawah RM3,000. Sejumlah RM33 juta akan diperuntukkan dan memanfaatkan 220,000 pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan Johor 2022 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pemberian peruntukan khas sebanyak RM5 juta kepada Yayasan Sultanah Rogayah dan RM7 juta kepada Yayasan Sultanah Fatimah.

“Bagi memastikan agihan bantuan ini tidak cenderung kepada sebarang unsur politik, Kerajaan Negeri akan memastikan yayasan-yayasan tersebut dianggotai oleh golongan profesional. 

“Selain itu, bagi golongan asnaf, sebanyak RM500,000 akan diperuntukkan untuk kebajikan sosial dan institusi. Diharapkan usaha ini akan memanfaatkan anak-anak yatim, warga emas yang tidak berwaris,” katanya. - Makmur Johor

Kongsi berita ini