KOTA ISKANDAR, 18 November: Kerajaan Negeri Johor menerusi Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) akan memberi insentif petrol secara ‘one-off’ berjumlah RM150 kepada pemandu e-hailing dan teksi.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, jumlah terseubt melibatkan seramai 15,051 pemandu e-hailing dan teksi yang berdaftar di negeri ini.

“Selain itu, sebanyak RM100 untuk setiap 4,455 penghantar makanan dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM2.7 juta,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Johor 2022 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, bantuan itu diberikan selepas pandemik COVID-19 memperlihatkan aktiviti ekonomi gig di negeri ini semakin meningkat. 

“Ini bermakna, jumlah penglibatan rakyat Negeri Johor dalam ekosistem ekonomi gig juga semakin bertambah,” katanya. - Makmur Johor.

Kongsi berita ini