MERSING, 14 November: Tanaman pokok rhu di Taman Eko Rimba Teluk Arong, di sini mampu menjadi tarikan baharu kepada pengunjung domestik mahupun antarabangsa.
Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Dato’ Haji Salim Aman berkata, pihaknya mengambil inspirasi daripada landskap yang terdapat di Pulau Nami, Korea Selatan yang terkenal dalam kalangan pelancong dari seluruh dunia.
“Pihak kami menanam banyak pokok rhu di kawasan sekitar Taman Eko Rimba ini bagi memastikannya menjadi daya tarikan kepada pengunjung sama seperti yang terdapat di Pulau Nami, Korea Selatan yang terkenal dengan landskap pokoknya.
“Taman Eko Rimba ini masih lagi dalam proses pembangunan dan bakal dilengkapi dengan kemudahan awam termasuk tandas awam. Konsep yang dicadangkan bagi taman ini ialah khemah kereta (car camping),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Penubuhan Taman Eko Rimba Telok Arong yang disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad, semalam.
-
Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Dato’ Haji Salim Aman - Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
-
Hasni Mohammad menanam pokok rhu pada Majlis Pecah Tanah Penubuhan Taman Eko Rimba Telok Arong, di sini semalam. - Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Menurutnya, terdapat empat komponen dalam pembangunan di Telok Arong, iaitu Kompleks Hutan Taman Negeri Arong, trek pendakian Gunung Arong, kawasan restorasi dan Taman Eko Rimba Telok Arong.
“Pembukaan kawasan ini adalah secara berperingkat-peringkat. Trek pendakian Gunung Arong telahpun dibuka kepada umum sejak 2005, empat komponen pembangunan kawasan ini dijangka akan siap sepenuhnya lima tahun lagi.
“Insya-Allah, sekiranya siap sepenuhnya, ia bakal menjadi daya tarikan pengunjung untuk datang ke kawasan ekopelancongan ini, sekali gus membangunkan ekonomi setempat,” katanya. - Makmur Johor.



