MERSING, 14 November: Belanjawan Johor 2022 yang bakal dibentangkan pada 18 November ini akan memberi tumpuan terhadap usaha memulihkan ekonomi pasca COVID-19 dan mengambil kira kepentingan pelbagai pihak.
-
Hasni Mohammad ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda Tenggaroh 1 dan Tenggaroh 7 diDewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini semalam. - Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, Kerajaan Negeri sedia maklum mengenai cabaran yang dihadapi rakyat ekoran ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang melanda sejak dua tahun lalu.
“Ancaman COVID-19 yang kini beransur pulih bukanlah bererti bahawa ekonomi kita turut pulih sepenuhnya, tentunya tidak. Sesi libat urus ini bertujuan untuk berbincang bersama-sama kepimpinan daerah bagi menghasilkan bajet sempurna dan bersifat menyeluruh.
“Apa yang kita akan lakukan dalam usaha membantu rakyat adalah dengan memastikan pemulihan ekonomi, khususnya memperkasakan industri kecil dan sederhana (IKS) dengan memperbanyakkan pinjaman untuk mereka memulakan perniagaan.
“Selain itu, kita akan memastikan rakyat yang kehilangan pekerjaan diberi peluang dengan menyediakan pelbagai kemahiran ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ supaya mereka boleh bekerja, sekali gus membolehkan ekonomi dijana semula,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda Tenggaroh 1 dan Tenggaroh 7 serta beberapa bantuan lain di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini semalam.
-
Hasni Mohammad beramah mesra bersama peneroka Felda selepas menyampaikan sijil hak milik tanah pada Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda Tenggaroh 1 dan Tenggaroh 7 diDewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini semalam. - Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Dalam pada itu, YAB Menteri Besar berkata, daerah Mersing mempunyai pelbagai potensi, khususnya daripada segi sektor pelancongan.
“Saya bersama-sama pegawai daerah telah berbincang tentang potensi yang ada di daerah ini, khususnya pelancongan marin. Daerah ini berpotensi untuk dibangunkan pusat pengajian tinggi berasaskan bidang marin.
“Menerusi kewujudan pusat pengajian ini, ia bakal menyerlahkan khazanah negeri ini, selain memberi peluang kepada pembangunan setempat,” katanya. - Makmur Johor



