MERSING, 14 November: Mersing menjadi daerah kesembilan dikunjungi Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad dalam rangka lawatan ke daerah-daerah menjelang pembentangan Belanjawan Johor 2022.

Lawatan tersebut dimulakan dengan YAB Menteri Besar bersarapan bersama-sama masyarakat di Warung Lontong Darat Viral Cik Tik Corner di Kampung Sri Pantai.

Beliau dan rombongan kemudiannya ke Wisma Sri Mersing, Kem Iskandar bagi mendengar taklimat mengenai dasar Belanjawan Johor 2022 yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan).

YAB Menteri Besar turut mendengar taklimat tentang Projek Pembangunan RP 1: RMK 12 yang disampaikan oleh Pengarah Pembangunan Negeri Johor, dan Hala Tuju Pembangunan Daerah Mersing yang disampaikan oleh Pegawai Daerah.

Di lokasi yang sama, beliau turut menyerahkan replika cek sumbangan peralatan dan kelengkapan gimnasium serta peruntukan membina padang rekreasi Kem Iskandar Mersing kepada Panglima Markas 21 Gerup Gerak Khas.

YAB Menteri Besar turut meluangkan masa menghadiri jamuan makan tengah hari bersama-sama warga Markas 21 GGK Kem Iskandar.

Selepas itu beliau ke Dewan Jubli Intan untuk majlis penyerahan hak milik tanah kepada peneroka Felda Tenggaroh 1 dan Tenggaroh 7, Program Bantuan Rumah (PBR) dan Projek Pengurusan Air Sawah kepada golongan pesawah di Air Papan.

Beliau turut menyerahkan Pelan Pengurusan dan Pemuliharaan Penyu Kebangsaan serta Pembangunan Projek Kelah Negeri Johor.

Selain itu, YAB Menteri Besar turut menyerahkan bantuan Pasung Mudah Alih Ternakan Ruminan Lembu serta Skim Bantuan Zakat Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Bantuan lain yang turut disampaikan pada majlis itu ialah Bantuan Pangkalan Hadapan kepada Tok Batin Masyarakat Orang Asli serta
program Cari Orang Memerlukan Bantuan (COMB).

YAB Menteri Besar kemudiannya mengadakan ‘walkabout’ di Jeti Shah Bandar, Mersing serta mendengar taklimat projek Pembangunan Menaik Taraf Jeti Pelancongan Mersing dan Penyusunan Semula Sungai Mersing oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing,.

Beliau kemudiannya turut meluangkan masa melawat pengunjung di pantai Air Papan.

Lokasi terakhir lawatan YAB Menteri Besar Johor ke daerah Mersing ialah Tapak Taman Eko Rimba, Teluk Arong.

Selain mendengar taklimat mengenai pembangunannya daripada Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Dato’ Haji Salim Aman, beliau turut melakukan upacara gimik pecah tanah projek tersebut.

Kongsi berita ini