JOHOR BAHRU, 2 Disember: Kerajaan Negeri hari ini melancarkan aplikasi mudah alih portal, JohorPay dan sistem digital Pemantauan Projek Negeri Johor (JoMS).
Kedua-dua aplikasi tersebut adalah antara usaha pendigitalan Kerajaan Negeri menerusi inisiatif 7 Ikhtiar Makmur Johor, iaitu Johor Digital Masterplan.
Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad, berkata, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah awal bagi mempertingkatkan keupayaan dan kapasiti perkhidmatan dalam mewujudkan satu ekosistem digital yang lebih menyeluruh dalam sektor awam.
-
Hasni Mohammad merasmikan Majlis Pelancaran JohorPay Dan Sistem Pemantauan Projek (JoMS) Serta Penyerahan Dokumen Kajian Pelan Induk Digital Negeri Johor 2030 di Hotel Thistle di sini, hari ini. - Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM
Menurutnya, portal JohorPay akan diguna pakai sebagai medium bagi menggalakkan rakyat berurusan secara dalam talian semasa berurusan dengan agensi kerajaan yang terpilih seperti pembayaran cukai tanah, cukai pintu dan zakat.
“JohorPay adalah satu platform baharu yang diperkenalkan menggunakan teknologi terkini dengan ciri-ciri keselamatan diperketatkan, sekali gus memudahkan pengguna mengaplikasikan aktiviti kehidupan seharian menerusi teknologi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran JohorPay dan Sistem Pemantauan Projek Negeri Johor (JoMS) serta Penyerahan Kajian Pelan Induk Digital Negeri Johor 2030 di Hotel Thistle, di sini hari ini.
YAB Menteri Besar berkata, sistem JoMS pula adalah kaedah pemantauan projek-projek Kerajaan Negeri yang dilaksanakan secara dalam talian.
“JoMS lebih sistematik dan merupakan sistem pemantauan yang membolehkan sebarang kelemahan dapat dikenal pasti dari awal.
“Sistem ini juga memantau kepentingan dan pulangan kepada kerajaan bagi projek-projek kerjasama awam dan swasta yang dilaksanakan dengan lebih mudah berbanding secara manual pada masa ini.
“Maka, sistem ini dilihat akan menjadi transformasi terhadap pendigitalan kerajaan agar meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Pada majlis itu, YAB Menteri Besar turut menyerahkan Kajian Pelan Induk Digital Negeri Johor 2030.
“Saya amat optimis bahawa Johor tidak akan ketinggalan dalam menerima manfaat daripada kecanggihan teknologi tinggi.
“Oleh sebab itulah pada hari ini kita akan menyerahkan dokumen Kajian Pelan Induk Digital Negeri Johor 2030 (PIDNJ 2030) secara rasminya.
“Menerusi PIDNJ2030, saya melihat teras yang dibangunkan untuk mendigitalkan Johor adalah bersifat menyeluruh. Ia bukan sahaja melibatkan perkhidmatan kerajaan, industri, infrastruktur, ekonomi sosial, malah turut menekankan bakat digital,” katanya.
Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani: Pengerusi Jawatan Kuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Tuan Haji Mazlan Bujang; Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor, YB Dato’ Haji Mohammed Ridha Abd. Kadir. - Makmur Johor



