JOHOR BAHRU, 2 Disember: Perjalanan antara Malaysia dan Singapura menerusi Skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) Darat dijangka tidak akan terjejas susulan ancaman varian baharu COVID-19, Omicron.
Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, VTL Darat itu tidak dihentikan, sebaliknya hanya akan memperketatkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan kemasukan pengembara sekiranya timbul ancaman yang serius.
Menurutnya, perkara itu diputuskan ketika mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan selepas menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, tengah hari tadi.
Katanya, belum ada kepastian oleh pihak kerajaan Singapura seperti yang digambarkan oleh Dr Vivian bahawa varian tersebut akan mengganggu kelancaran VTL Darat.
“Tetapi SOP yang lebih sesuai akan diperkenalkan dan SOP itu selalunya akan melibatkan kedua-dua negara. Jadi, itu yang dia gambarkan mungkin dua minggu hingga sebulan dari sekarang baru kita tahu tapi sehingga itu, ia berjalan seperti biasa.
“Mungkin sekiranya terdapat perkara baharu berbangkit berkaitan varian Omicron ini, tidak ada gambaran bahawa VTL Darat ini akan ditutup semula atau sebagainya.
“Setakat ini VTL Darat berjalan lancar dan kita kena pertingkatkan SOP jika mahu jumlah kemasukan pengembara dapat ditambah. Syarat dan keperluan SOP seperti ujian pengesanan pantas (RTK), ‘On Arrival Test’ (OAT) COVID-19 perlu dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Johor Pay dan Sistem Pemantauan Projek Negeri Johor (JoMS) serta Penyerahan Kajian Pelan Induk Digital Negeri Johor 2030 di Hotel Thistle, di sini hari ini.
YAB Menteri Besar berkata, sejak VTL Darat diperkenalkan bermula 29 November lalu, hanya terdapat dua kes positif COVID-19 dikesan, iaitu masing-masing satu kes dari Malaysia dan Singapura.
“Setakat ini, perjalanan skim VTL Darat yang memasuki hari keempat berjalan lancar. Dua kes positif COVID-19 dikesan, iaitu satu kes dari Singapura dan satu kes dari Malaysia,” katanya. - Makmur Johor



