JOHOR BAHRU, 2 Disember: Sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk bagi mengkaji impak pelaksanaan Undi 18.
Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai wakil daripada semua parti bagi mengkaji impak pelaksanaan Undi 18, antaranya isu peningkatan mendadak bilangan pengundi.
“Sebuah jawatankuasa pilihan akan dibentuk yang dianggotai oleh wakil semua parti supaya dapat berbincang bagi merangka atau membangunkan cadangan-cadangan bagaimana wakil rakyat yang mempunyai pengundi yang ramai. Jadi, macam mana peruntukannya? Kena ada lain ke? Kena tambah ke ataupun ada cadangan-cadangan untuk meningkatkan perkhidmatan wakil rakyat.
“Kita menyedari bahawa apabila sudah ramai sangat pengundi kalau tidak buat sesuatu, akan menjejaskan perkhidmatan sebagai wakil rakyat.
“Jadi, itu dulu yang hendak kita ukur dan hendak kita cari jalan bagaimana soal mengatasinya sama ada pecah sempadan (persempadanan semula) itu sebagai satu opsyen yang mungkin merupakan jalan penyelesaian. Saya tidak menolak kemungkinan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran JohorPay dan Sistem Pemantauan Projek Negeri Johor serta Penyerahan Kajian Pelan Induk Digital Negeri Johor 2030, di Hotel Thistle, di sini hari ini.
Sebelum ini, YAB Menteri Besar berkata, satu persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan diadakan dalam minggu pertama awal tahun depan bagi meminda had umur kelayakan calon bertanding di negeri ini daripada 21 kepada 18 tahun.
“Kerajaan Negeri sudah bersetuju bahawa kita juga akan mengadakan sidang khas DUN untuk mengubah atau meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Johor supaya had umur bagi mereka untuk menjadi calon mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun itu kita akan adakan dalam masa secepat mungkin minggu pertama Januari,” katanya.
Bulan lalu, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).
Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Setakat ini, beberapa negeri telah meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi tujuan tersebut, antaranya Sabah pada Disember 2019, Perlis (Mei 2020), Terengganu (Ogos 2020), Sarawak (November 2020), Kelantan (Disember 2020) dan Perak (Julai 2020) dan Pulau Pinang dan (September 2021).
Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatan Kuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Tuan Haji Mazlan Bujang; Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor, YB Dato’ Haji Mohammed Ridha Abd. Kadir. - Makmur Johor



