KOTA ISKANDAR, 28 Oktober: Kerajaan Negeri Johor melancarkan Jualan Makmur Johor (JMJ) bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat di negeri ini.

Program dengan kerjasama Shopee Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan  Ehwal Pengguna Johor sebagai agensi pelaksana dijangka memberi manfaat kepada 39,500 rakyat yang menetap di negeri ini.

Inisiatif berkenaan sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri Johor untuk membantu rakyat berikutan negeri ini mencatatkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sebanyak RM2,508 sebulan bagi satu isi rumah berbanding PGK nasional, iaitu RM2,208.

JMJ turut membantu rakyat negeri ini  untuk membeli barangan keperluan harian pada harga yang lebih murah dan berpatutan.

Program JMJ 2020 ini akan berlangsung selama sebulan mulai November ini secara dalam talian  melalui platform syarikat e-dagang Shopee Malaysia.

Kerajaan Negeri Johor memberi rebat sebanyak RM20 bagi setiap pembelian barang keperluan asas minimum RM60.

Sebanyak RM790,000 diperuntukkan bagi program tersebut.

Selain rebat tersebut, Shopee Malaysia  turut menyumbang baucar penghantaran percuma yang boleh dinikmati pengguna menerusi laman mikro khusus bagi JMJ.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang program berkenaan dengan melayari  laman web https://shopee.com.my/m/jmj - Makmur Johor

Kongsi berita ini