JOHOR BAHRU, 31 Oktober: Perbincangan untuk membuka sempadan antara Malaysia dan Singapura masih diteruskan walaupun daerah ini diisytiharkan sebagai zon merah COVID-19.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, perkara itu tidak menjadi  halangan kerana ketika kes COVID-19 sedang memuncak di Singapura dahulu, penghantaran bekalan asas ke negara itu tetap diteruskan.

“Saya kira ia tidak menjejaskan kerana sewaktu kes yang memuncak di negara jiran Singapura pada waktu itu kita melihat kepada perjalanan menghantar keperluan dan sebagainya.

“Saya kira yang penting adalah keupayaan untuk mengawal dan SOP untuk membolehkan pembukaan sempadan untuk mereka berulang-alik harian ini telah pun kita kemukakan kepada pihak kementerian dan kita sedang meminta pihak kementerian supaya segera berbincang dengan negara jiran dan sedapat-dapatnya satu keputusan segera dapat dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sambutan Bulan Kesedaran Sindrom Down Sedunia 2020 di Pulai Springs Resort, di sini hari.

YAB Menteri Besar turut memberitahu, Kerajaan Negeri sedang merangka beberapa pelan bagi membantu golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 yang masih berlaku ketika ini.

“Kita menyedari tentang  pertumbuhan ekonomi atau pun aktiviti ekonomi yang berterusan terjejas.

“Jadi dalam Bajet 2021 yang kerajaan rangka ini akan memperlihatkan usaha untuk membantu golongan terjejas,” jelasnya. - Makmur Johor

Kongsi berita ini