JOHOR BAHRU, 31 Oktober: Kerajaan Negeri komited untuk memberi fokus kepada golongan yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi semasa, termasuk orang kurang upaya (OKU).
Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, setiap bantuan dan peruntukan yang dibelanjakan adalah berdasarkan keperluan semasa dan tidak bersikap memilih.
“Lebih-lebih lagi dalam membantu keluarga yang punya anak kelainan upaya, dengan ilmu dan bantuan yang sewajarnya. Semua ini akan diterjemahkan ke dalam Belanjawan Johor 2021,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Sambutan Bulan Kesedaran Sindrom Down Sedunia 2020 di Pulai Springs Resort, di sini hari ini.
YAB Menteri Besar berkata, masyarakat seharusnya mengubah stigma dan menerima golongan OKU dengan baik.
Menerusi kajian yang dijalankan oleh UNICEF Malaysia pada tahun 2017 menunjukkan bahawa wujud kegusaran dan stigma dalam kalangan masyarakat masa kini mengenai OKU.
“Sebanyak 43.1% responden berasa ‘terganggu’ apabila anak-anak OKU disekolahkan bersama-sama anak-anak normal yang lain.
“Dalam kajian yang sama juga, 75.3% responden berpendapat anak-anak OKU seharusnya dimasukkan ke pusat pemulihan atau pusat jagaan khusus.
“Meskipun begitu, stigma merupakan satu persepsi. Dan persepsi itu, sifatnya boleh diubah. Maka, di sinilah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama-sama NGO-NGO berkenaan harus mengambil peranan aktif dalam mengubah persepsi buruk demikian,” katanya.
Menurut beliau, agensi dan pihak berkaitan boleh mengubah stigma itu dengan menganjurkan pelbagai aktiviti pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial dengan masyarakat.
Pada majlis itu, YAB Menteri Besar turut mengumumkan pemberian geran berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Sindrom Down Negeri Johor bagi menganjurkan aktiviti mereka. - Makmur Johor
