KOTA ISKANDAR, 18 Nov: Kerajaan Negeri memberi bantuan khas setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri ini sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, bantuan khas itu akan dibayar sebelum akhir tahun ini.

“Tidak dilupakan juga jasa dan khidmat penjawat awam yang telah menjayakan agenda pembangunan dan kebajikan negeri. 

“Kepada penjawat awam Negeri Johor yang menjadi tulang belakang kepada kelancaran pentadbiran, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan Tahun 2021 kepada kakitangan Kerajaan Negeri Johor dan akitangan Awam Persekutuan yang dibayar gaji oleh Kerajaan Negeri Johor, sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000.  

“Bantuan khas kewangan ini juga akan dipanjangkan kepada semua guru KAFA, petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan guru Tadika Islam Johor (TAJ). Bantuan khas kewangan ini akan dibayar sebelum akhir tahun 2021,” katanya.

Pengumuman itu dibuat YAB Menteri Besar semasa membentangkan Belanjawan Johor 2022 bertemakan ‘Memperhebat Kesejahteraan Johor’ pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini. -Makmur Johor

Kongsi berita ini