KERISAUAN ibu bapa terjawab apabila Menteri Pendidikan mengumumkan sesi persekolahan dan penyusunan semula takwim peperiksaan, susulan cabaran dibawa pandemik COVID-19.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dibatalkan. Ini titik mula supaya kedua-dua peperiksaan utama itu terus dimansuhkan.Tatkala negara dilanda dugaan sangat besar, kadang kala ada hikmah tidak kita ketahui.

UPSR dan PT3 perlu dimansuhkan. Sistem pendidikan kita lebih menumpukan kepada sistem peperiksaan, bukan pembangunan murid secara holistik.

Kegagalan dan kejayaan murid diambil kira melalui pencapaian akademik walaupun sudah ada pertimbangan pembabitan aktiviti kokurikulum.

Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang digubal sejak 1988, sudah tertera menyatakan berkenaan pembentukan insan yang seimbang dalam semua aspek.

Mungkin ini titik mula, supaya Kementerian Pendidikan memikirkan cara terbaik untuk mengukur dan mentaksir murid pada peringkat sekolah rendah dan menengah rendah.

Penilaian kejayaan murid berdasarkan pencapaian akademik cemerlang mereka, tanpa melihat dari segi perkembangan bakat.

Ibu bapa mengharapkan anak mereka memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran dengan menghantar ke pusat tuisyen. Ada sesetengah ibu bapa menghantar anak ke pusat tuisyen mulai tahun satu demi kejayaan cemerlang anak mereka.

Hal ini kerana sistem pendidikan negara juga mementingkan kecemerlangan akademik. Anak mempunyai kepelbagaian bakat dalam diri mereka.

Kegagalan kita mencungkil bakat mereka akan menyebabkan perkara tidak diingini berlaku dalam diri mereka mahu pun masyarakat.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 ada menyatakan enam ciri utama diperlukan setiap murid untuk bersaing pada peringkat global.

Ia membabitkan pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan identiti nasional.

Peranan pendidik adalah memastikan pembangunan murid seimbang dan holistik. Pendidik mempunyai pilihan untuk itu.

Kongsi berita ini