JOHOR BAHRU, 19 Sept: Johor, Pahang dan Terengganu akan menjalin kerjasama untuk menjadi pembekal utama susu segar di negara ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika pertemuan beliau dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Mersing semalam.

Menurutnya, usaha itu akan dilaksanakan dengan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Saya sudah mencadangkan kepada YB Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz  juga mengenai perbincangan antara Johor, Pahang dan Terengganu untuk memperluaskan industri pengeluaran susu segar.

“Di Muadzam sudah ada pengeluaran susu segar kira-kira tujuh juta liter sehari. Kita di Johor akan ada Jemaluang Dairy Valley yang mampu mengeluarkan kira-kira 5.1 juta liter sehari sementara Terengganu pula sudah mengenal pasti tapaknya.

“Jadi, ketiga-tiga negeri ini berhasrat untuk menjalinkan kerjasama bagi menjadi pengeluar susu segar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi penyerahan kunci kediaman kepada 46 penduduk bagi Projek Penempatan Semula Perumahan Kampung Pendas Baru Fasa 2, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, bagi Jemaluang Dairy Valley, Johor sudah menerima peruntukan awal berjumlah RM70 juta.

“Sekarang ini di Jemaluang sedang dalam peringkat lantikan kontraktor dan dalam tahun ini ia akan bermula.

“Perkara ini telah pun saya maklumkan kepada Menteri Kewangan agar permohonan peruntukan untuk Terengganu dan Pahang ini kalau boleh dapat juga diputuskan segera agar projek ini dapat berjalan secepat mungkin,” katanya. 

Yang turut hadir pada sesi penyerahan kunci berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pegawai Daerah Johor Bahru, YB Dato’ Haji Abdul Rahman Salleh; Datuk Bandar Iskandar Puteri, YB Dato’ Haji Mohd. Haffiz Ahmad dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif IIB, YBhg Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad. - Makmur Johor

Kongsi berita ini