KEPUTUSAN kerajaan tidak mem benarkan semua jenis bazar Ramadan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) cukup tepat. Ia menunjukkan kesihatan rakyat menjadi keutamaan.

Dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19, tindakan ini wajar diambil supaya usaha yang dilakukan sepanjang PKP tidak sia-sia.Walaupun bazar Ramadan tidak beroperasi, kerajaan masih memberi kelonggaran membuat pesanan makanan melalui 41 syarikat yang menyediakan perkhidmatan e-hailing atau penghantar makanan persendirian.

Syaratnya penghantar makanan perlu berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menjalani saringan kesihatan. Ia bertujuan memastikan tiada kluster baharu wujud ketika dan selepas Ramadan nanti.

Namun, PBT perlu memainkan peranan memastikan pematuhan dalam kalangan penghantar makanan khususnya yang beroperasi secara persendirian.

Mungkin pas pendaftaran dan kebenaran boleh dikeluarkan kepada penghantar makanan yang disahkan sihat selepas saringan kesihatan dilakukan.

Pengusaha makanan pula perlu memilih penghantar makanan yang mempunyai pengesahan dan kebenaran PBT.

Pemeriksaan ke atas penghantar makanan pula perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada individu menangguk di air keruh.

Pada pihak pembeli, harus peka untuk memesan makanan daripada pengusaha makanan yang memilih penghantar sah.

Pada masa sama, kerajaan memberi kebenaran kepada lebih banyak sektor untuk beroperasi pada PKP fasa ketiga ini. Ia untuk membantu memacu dan merangsang semula pusingan ekonomi negara.

Namun, syarikat mahupun industri terbabit perlu mematuhi prosedur operasi standart (SOP) ditetapkan. Pastikan setiap pekerja menjalani saringan kesihatan dan bebas wabak COVID-19.

Untuk yang mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kos itu boleh ditanggung agensi berkenaan. Bagi yang tidak mendaftar PERKESO pula, menjadi tanggungjawab syarikat menanggung kos saringan kesihatan itu.

Apa yang penting, semua pihak mempunyai tanggungjawab tinggi untuk sama-sama memutuskan penularan wabak.

Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia

Kongsi berita ini