MALAYSIA memasuki fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti diumumkan Perdana Menteri. Rata-rata rakyat akur dan menyambut baik PKP ini memandangkan statistik kes jangkitan COVID-19 belum menunjukkan penurunan memberangsangkan, walaupun ada tanda positif dalam pengawalannya.

Pelbagai langkah pencegahan dan rangsangan ekonomi diperkenalkan kerajaan dalam menangani penularan COVID-19.Sejak PKP dikuatkuasakan, beberapa isu Perlembagaan dibangkitkan. Ada yang melabelkan PKP sebagai undang-undang drakonian dan melanggar prinsip hak asasi dan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam konteks ini, rakyat harus peka terhadap undang-undang yang menunjangi PKP agar kita tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan pelbagai spekulasi dan tohmahan terhadap segala usaha dilakukan kerajaan.

Undang-undang yang diguna pakai ialah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang ditunjangi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Seksyen 11 (3) memberikan kebenaran kepada seseorang pegawai menggunakan kekerasan dengan bantuan atau tanpa bantuan yang perlu dan menggunakan apa-apa cara mencukupi untuk memastikan apa-apa arahan dikeluarkan dipatuhi.

Penggunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula 22 Mac lalu, hanya bertujuan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengimplementasikan PKP. Seperti polis, tentera mempunyai autoriti berdasarkan Akta 342, memastikan penduduk mematuhi perintah pengawalan itu.

Apa dikesali ialah ada dalam kalangan masyarakat menggunakan pandemik COVID-19 untuk merendahkan pengertian hak asasi dalam menangani mereka yang tidak mematuhi perintah sosial untuk tinggal dalam rumah.

Perlu diperjelaskan PKP ialah strategi pengawalan substantif berteraskan prinsip dan undang-undang kesihatan awam dan tidak boleh disamakan dengan undang-undang darurat sinonim dengan regulasi ketenteraan.

Yang pasti, sama ada perintah berkurung atau PKP, arahan ini perlu disusuli dengan penguatkuasaan dan bagi yang ingkar, mereka bakal berdepan hukuman.

Jika dibandingkan dengan negara luar seperti China, India dan Filipina, pihak pemerintah mereka mengetepikan hak kemanusiaan demi menurunkan graf jumlah pesakit COVID-19.

Di negara ini, pihak berkuasa masih berperikemanusiaan dan mengikuti lunas undang-undang. Namun, apa dikesali ialah sikap masyarakat yang memandang remeh terhadap pematuhannya. Malah, ada dalam kalangan penjawat awam dimaki, dicerca dan dihalang daripada melakukan tugas mereka.

Sepanjang tempoh PKP satu dan PKP dua, jumlah kompaun yang ingkar terhadap pematuhannya sangat tinggi. Keingkaran mematuhi PKP ialah kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Mencegah dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawan Tempatan Jangkitan) 2020.

Peraturan 7(1) memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Memasuki PKP fasa tiga ini, pihak polis dan tentera menggunakan mod lebih keras bagi memastikan rakyat daripada segenap lapisan masyarakat mematuhinya. Tiada lagi nasihat atau kompaun, tetapi pesalah akan direman dan dihadapkan ke mahkamah.

Di bawah Seksyen 24 Akta 342, mahkamah boleh mengenakan hukuman penjara maksimum dua tahun dan kesalahan seterusnya penjara lima tahun.

Kesalahan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas boleh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Kongsi berita ini