PONTIAN, 26 Mac: Kerajaan Negeri akan menstruktur semula peranan Tourism Johor sebagai langkah menggalakkan sektor pelancongan di negeri ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, usaha itu dilakukan bagi menjadikan sektor pelancongan sebagai salah satu penyumbang ekonomi utama Johor.

“Saya akan meneliti pandangan untuk memperkukuhkan Tourism Johor ini. 

“Mungkin Tourism Johor ini dapat kita lakukan penstrukturan, bukan hanya secara pentadbiran di peringkat negeri tapi mungkin juga kita boleh memperkukuhkan melalui kaedah memperbadankan Tourism Johor.

“Atau kita boleh mewujudkan satu bentuk entiti yang lebih ke hadapan untuk meletakkan sektor pelancongan negeri Johor ini sejajar dengan potensi yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Insentif One-Off kepada Persatuan-Persatuan Pelancong Negeri Johor dan Majlis Pelancaran Yok Round Johor di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, dekat sini hari ini.

Bantuan itu adalah antara inisiatif yang diumumkan menerusi Agenda Johor Berkebajikan dalam Belanjawan Johor 2021 bagi membantu penggiat-penggiat industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Pada majlis itu,  840 pemandu pelancong menerima bantuan one-off sebanyak RM1,000, 120 agensi pelancongan menerima bantuan one-off RM2, 000, manakala 16 persatuan pelancongan menerima bantuan one-off RM20,000.

Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar turut menyeru penggiat industri pelancongan supaya lebih kreatif merancang dan menyusun strategi bagi menarik pelancong selepas negara pulih daripada pandemik COVID-19.

Katanya, pelaksanaan beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan pintu-pintu sempadan bagi membendung penularan COVID-19 turut memberikan impak yang besar kepada penggiat industri pelancongan di negeri ini.

“Tetapi saya berharap agensi-agensi atau pemandu pelancong ini dapat bertahan dan terus meningkatkan mutu perkhidmatan kita dan merancang sekurang-kurangnya sehingga kita kembali pulih daripada kekangan pergerakan ini,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengarah Tourism Johor, Tuan Haji Suhairi Hashim.- Makmur Johor

Kongsi berita ini