JOHOR BAHRU, 21 Disember: Perasmian Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMICY) oleh DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Johor hari ini bakal menjadi penanda aras terhadap komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam merangka dan melaksanakan dasar pemerkasaan orang muda Negeri Johor.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, TMIYC Johor Bahru juga merupakan langkah pertama dalam penubuhan TMIYC di daerah-daerah lain.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan keutamaan kepada golongan belia yang berumur antara 14 hingga 39 tahun dan berjumlah lebih 1.5 juta orang di negeri ini.

”Kita akan sentiasa membela, menyokong dan menyerlahkan bakat- bakat terbaik Orang Muda Johor untuk negeri kita dan Malaysia, sekali gus kerajaan negeri akan terus mempergiatkan lagi aktiviti golongan belia negeri Johor.

”Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Johor 2021 telah memperuntukkan sebanyak RM57.3 juta untuk inisiatif-inisiatif yang berkaitan dengan nadi Orang Muda Johor.

”Contohnya, menerusi agenda Johor Digital, kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah Pangkalan Data Belia Johor dengan peruntukan RM500,000. Pangkalan data ini akan membekalkan maklumat komprehensif berkaitan golongan belia kepada pembuat dasar negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran TMIYC Johor Bahru dan Southern Volunteers, di sini hari ini.

Terdahulu, DYAM Tunku Ismail berkenan merasmikan TMIYC serta meninjau fasiliti-fasiliti yang terdapat di pusat tersebut. Berangkat sama pada majlis itu ialah YAM Che’ Puan Khaleeda Bustamam. 

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Haji Azmi Rohani; Datuk Bandar Johor Bahru, YB Dato’ Haji Adib Azhari Daud dan Ketua Polis Johor, Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay.

YAB Menteri Besar berkata, TMIYC Johor Bahru merupakan sebuah platform yang diwujudkan khas untuk komuniti belia berkumpul, beriadah dan menjalankan aktiviti rekreasi secara bersama-sama selaras dengan hasrat dan kehendak golongan belia masa kini.

”Kawasan ini telah dirancang oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sejak awal Julai 2014. Dahulunya kawasan ini merupakan sebuah taman ekologi yang menjadi sebahagian daripada Hutan Bandar Johor Bahru.

”Taman ekologi tersebut telah mula dijadikan tempat penganjuran program-program belia seperti jambori, aktiviti gotong-royong dan pelbagai lagi,”katanya.- Makmur Johor

Kongsi berita ini