KOTA ISKANDAR, 31 Mei: Seramai 17,588 pengembara dikuarantin di pusat-pusat kuarantin di negeri Johor dan tiada kes pelanggaran atau ingkar arahan tersebut direkodkan hingga 29 Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, semua individu yang dikuarantin diberikan perintah isolasi atau perintah pengawasan dan pemerhatian di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

”Kegagalan mematuhi perintah, sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, iaitu boleh dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

”Pada masa ini, tiada kes pelanggaran atau ingkar kuarantin yang direkodkan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 221 stesen kuarantin yang diwartakan di negeri ini dan daripada jumlah itu, 57 stesen telah diaktifkan, namun hanya 32 yang beroperasi hingga 29  Mei.

Selain daripada mereka yang dikuarantin di pusat-pusat kuarantin, seramai 5,140 individu diberikan perintah pengawasan dan pemantauan di rumah sebelum penguatkuasaan pengawasan dan pemerhatian di stesen kuarantin mulai 8 April lalu.

”Bagi individu yang menjalani pengawasan dan pemantauan di rumah, mereka perlu mematuhi arahan yang ditetapkan seperti sentiasa berada di rumah dan boleh dihubungi setiap masa sepanjang tempoh itu.

”Hadkan pelawat atau tetamu yang datang ke rumah dan kekalkan jarak sekurang-kurangnya satu meter dari mereka yang sihat,” katanya.

YB Vidyanthan berkata, mereka yang menjalani perintah pengawasan dan pemantauan di rumah juga perlu mengamalkan adab batuk yang baik, memakai penutup hidung dan mulut sekiranya keluar dari bilik, mengelak bergaul dengan orang lain dan berkongsi peralatan makanan dan penjagaan diri serta sentiasa memastikan pengudaraan rumah dalam keadaan baik dengan membuka tingkap.

”Sekiranya anda bergejala, sentiasa memakai penutup hidung dan mulut dan jika tidak memakainya, tutup mulut dan hidung menggunakan tisu apabila batuk dan bersin. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah dan cuci tangan serta-merta menggunakan sabun atau cecair pembasmi kuman (hand sanitiser).

“Hubungi Pejabat Kesihatan daerah yang terdekat bagi sebarang gejala atau gejala bertambah teruk,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini