KOTA ISKANDAR, 28 April: Tempoh bertenang selama seminggu akan dikuatkuasakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid ditarik balik hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, kerajaan pusat sebelum ini telah bersetuju supaya PKPD di dua kawasan tersebut ditarik balik, namun pihak yang berwajib masih lagi melakukan pemantauan berterusan.

Beliau berkata, sebagai langkah kawalan keselamatan, pemantauan berterusan akan terus dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keadaan di situ terus kekal terkawal serta selamat.

”Sepanjang tempoh bertenang itu, kerajaan juga telah membuat keputusan supaya tiada perjalanan keluar dan masuk dibenarkan melainkan pergerakan di dalam kawasan terlibat sahaja.

”Penduduk di situ juga boleh menjalankan aktiviti harian seperti membeli barang keperluan, namun pergerakan adalah terhad di dalam kawasan yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

YB Vidyananthan memaklumkan, kini pihak kerajaan tidak lagi membekalkan barangan keperluan asas seperti yang dilakukan sepanjang tempoh PKPD sebelum ini.

”Kerajaan telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan kesemua barangan keperluan harian di tujuh buah kedai yang telah dikenal pasti di kawasan tersebut mencukupi bagi menampung keperluan penduduk.

”Penduduk masih boleh menghubungi bilik gerakan di Majlis Daerah Simpang Renggan (MDSR) jika ingin mendapatkan keperluan, khususnya sepanjang tempoh pergerakan terhad ini,” katanya.

Kongsi berita ini