JOHOR BAHRU, 22 Januari: Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) berkuatkuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Keputusan pembubaran itu dibuat selepas DYMM Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Hasni Mohammad pada pukul 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, keputusan pembubaran DUN Johor dibuat memandangkan kekosongan kerusi bagi DUN Kempas selepas kematian penyandangnya, YB Dato’ Osman Sapian pada 21 Disember lalu sehingga menyebabkan kurangnya kestabilan dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau beranggapan bahawa kerajaan yang ada perlu berusaha untuk menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang dinamik dan pesat dengan pembangunan.

“Tetapi memandangkan kedudukan kerajaan yang boleh dikatakan bergerak atas ihsan pembangkang, saya fikir tidak wajar sama sekali berlaku di Negeri Johor, sebab itu pertimbangan untuk mengadakan pilihan raya adalah sesuatu yang amat diteliti Kerajaan.

“Maka, Pilihan Raya Negeri (PRN) dianggap sebagai usaha untuk mendapatkan semula mandat daripada rakyat, bagi membolehkan kita meneruskan perancangan dan juga program-program yang telah pun disusunkan melalui Belanjawan Johor 2022 mahupun potensi Negeri Johor itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor di Jalan Yahya Awal, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar menambah, selepas DUN Johor dibubarkan, Kerajaan sedia ada akan terus bertindak sebagai ‘caretaker’ sehingga PRN nanti.

“Urusan pentadbiran Kerajaan masih lagi berjalan seperti biasa. Sebarang tarikh berhubung PRN akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Seperti sedia maklum SPR seharusnya mengadakan PRN dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran,” katanya. - Makmur Johor

Kongsi berita ini