ISKANDAR PUTERI, 20 Jan: Kerajaan Negeri mempelawa pihak yang terlibat dalam industri dron dan robotik di negeri ini untuk turut serta membangunkan bakat bagi memacu perkembangan dalam industri berkenaan, terutamanya di Iskandar Puteri.
Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, langkah itu penting bagi memperkasakan industri berkenaan di negeri ini.
“Untuk mengukuhkan lagi agenda ini, saya menggesa Iskandar Investment Berhad (IIB) dan semua pemain industri dron dan robotik di DRZ untuk melabur juga dalam pembangunan bakat bagi memastikan kemampanan industri ini di Iskandar Puteri.
“Suka atau tidak, kita mesti menyediakan generasi akan datang kita untuk dilengkapi dengan pengetahuan teknologi dan menyumbang secara aktif dan berterusan kepada industri baharu yang telah kita cipta,” katanya semasa merasmikan Zon Dron dan Robotik (DRZ) Iskandar, di sini hari ini.
-
Hasni Mohammad mencuba alat simulasi menerbangkan drone selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Laman Ujian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ), di Iskandar Puteri, sini hari ini. - Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Menurutnya, DRZ Iskandar ini secara tidak langsung akan meletakkan Johor, khususnya Iskandar Puteri sebagai pelopor dalam industri itu.
“Perkongsian strategik dan kerjasama dalam DRZ Iskandar akan meletakkan Medini, Iskandar Puteri di barisan hadapan dalam industri dron dan robotik serta mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan di Johor.
“Dengan sasaran untuk menarik pelaburan bernilai RM315 juta, 70 syarikat dron dan robotik, serta mewujudkan 1,000 pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang untuk Negeri Johor, saya gembira melihat IIB bergerak ke arah merealisasikan hasrat ini dengan pembukaan tapak ujian dron ini,” katanya.
DRZ Iskandar yang terletak di atas tapak seluas lebih 1,700 ekar di Medini dibina bagi mewujudkan ekosistem dron dan robotik, sekali gus menyokong agenda ekonomi digital Johor.
Yang trurut hadir pada majlis itu ialah Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad; Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Tuan Haji Abdul Rahman Salleh. - Makmur Johor



