KOTA ISKANDAR, 2 Disember: Pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru – Singapura yang dijadual siap menjelang 2026 bakal menjadi pemangkin (game changer) bagi pembudayaan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, projek yang menggunakan sistem rel ini juga bakal menjadi pemacu terhadap sistem pengangkutan sedia ada di negeri ini.

”Seperti kita semua sedia maklum bahawa Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah membangunkan sistem pengangkutan awam, iaitu Bus Rapid Transit (BRT).

“Saya yakin sekiranya wujud RTS ini, tidak banyak perubahan perlu dilakukan selain tidak melibatkan banyak kos tambahan. Ia satu permulaan yang baik dari segi kemajuan, khususnya di bandar-bandar seperti Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Perjanjian Persefahaman antara Johor Centre For Construction Development (JCCD) dan Malaysia Rapid transit System Sdn. Bhd. (MRTS), di sini hari ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif JCCD, Tuan Mohd. Ekmaluddin Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT CORP, Dato’ Mohd Zarif Hashim secara maya.

Dalam pada itu, YAB  Menteri Besar menambah, kekurangan tenaga mahir tidak menjadi permasalahan berikutan beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negeri ini memberi kerjasama penuh dalam membekalkan tenaga mahir.

”Saya yakin kita boleh mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing apabila universiti tempatan seperti  Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) berhasrat untuk menjadi pusat kecemerlangan (Centre of Excellent) dalam industri rel.

“Kepakaran dan tenaga mahir lain turut boleh disalurkan menerusi beberapa institusi seperti Univerisiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL),” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini