JOHOR BAHRU, 13  April: Projek Sistem Perparitan Utama Bagi Kawalan Banjir di Lido Waterfront Boulevard, berhampiran Teluk Danga diyakini mampu menyelesaikan masalah banjir yang sekian lama membelenggu penduduk setempat.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, usaha pihak Tropicana Corporation Berhad yang berjaya menyiapkan projek tersebut sewajarnya mendapat pujian.

”Projek ini diyakini mampu mengatasi masalah banjir di hulu Sungai Abdul Samad dan Sungai Chat yang sering menjejaskan kehidupan penduduk- penduduk khususnya di kawasan Kampung Mohd. Amin,” katanya.

Yang turut hadir pada majlis yang tersebut ialah Pengarah Lido Waterfront Boulevard Sdn. Bhd., YB Dato’ Avinderjit Sing a/l Harjit Singh dan Ketua Eksekutif Kumpulan Tropicana Corporation Bhd., Lee Han Ming.

Terdahulu, majlis penyerahan tersebut menyaksikan Lido Waterfront Boulevard Sdn. Bhd., menyerahkan projek tersebut kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), iaitu entiti yang bakal mengawal selia sistem perparitan berkenaan.

Syarikat Lido Waterfront Boulevard diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya, YB Dato’ Haji Ismail Karim, manakala MBJB oleh Datuk Bandar Johor Bahru, YB Dato’ Haji Adib Azhari Daud.

Projek yang menelan kos sebanyak RM19 juta itu dimulakan pada Januari 2019 dan siap sepenuhnya Disember tahun lalu.

Sistem perparitan berkenaan yang turut dilengkapi dengan perangkap sampah diharapkan dapat memastikan perairan di kawasan sekitar Teluk Danga lebih bersih.

Bagi memastikan kelancaran pengoperasian sistem perparitan utama bagi kawalan banjir itu, projek tersebut turut dilengkapi  dengan kamera litar tertutup (CCTV). – Makmur Johor

Kongsi berita ini