Oleh Nur Wani Nadhirah Mohammad Shofian Shah

JOHOR BAHRU, 11 April: Kerajaan Negeri kini memberi tumpuan khusus terhadap penggunaan sains dan data dalam sektor pertanian untuk meningkatkan kecekapan, sekali gus memberi nilai tambah bagi produk pertanian.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, pertanian kini dilihat sebagai salah satu sektor penting, malah menjadi antara penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, iaitu 16.2 peratus dengan jumlah RM16.25 bilion.

Menurutnya, eksport produk pertanian Malaysia ke Singapura sahaja sebanyak AS$2 bilion atau hampir RM8 bilion setiap tahun.

“Data pada tahun 2018 menunjukkan Singapura mengimport lebih kurang 16.4 peratus daripada jumlah makanan mereka dari Malaysia dan angka ini dijangka meningkat setiap tahun.

“Apabila saya menyebut tentang data dan sains untuk menjayakan Agenda Jaminan Bekalan Makanan, kita perlu mengambil langkah setapak ke hadapan. Bukan sahaja sebagai pembekal bahan makanan mentah, malah dengan adanya perkembangan dan penguasaan sains dan data oleh sektor-sektor dalam industri ini, kita boleh menambah nilai dalam pengeluaran produk pertanian dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penggerak Utama Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor di Hotel Holiday Villa, di sini malam tadi.

Menyedari potensi besar dalam sektor tersebut, YAB Menteri Besar memaklumkan ada anak syarikat milik kerajaan yang sinonim dengan sektor hartanah turut berminat untuk mengembangkan pelaburannya dalam bidang pertanian.

“Ada syarikat milik kerajaan yang memiliki kira-kira 3,000 ekar tanah di Iskandar Puteri berjumpa dengan Kerajaan Negeri dan menyatakan bahawa mereka hendak melabur dalam sektor pertanian.

“Mereka hendak menanam tomato, cili dan lain-lain tanaman yang terbaik dalam dunia di Iskandar Puteri, iaitu kawasan yang bernilai untuk pembangunan hartanah, kondominium dan sebagainya. “Hari ini syarikat itu melihat ia adalah pelaburan yang sama pentingnya, nilai pulangannya juga sama sekiranya kita betul-betul beri tumpuan dalam sektor pertanian yang benilai tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, YAB Menteri Besar turut menyeru semua agensi kerajaan yang terlibat dalam sektor pertanian memantau peruntukan yang diberikan supaya dapat disalurkan dan memberi manfaat bagi membangunkan bidang tersebut.

Sebagai contoh, Johor telah menerima peruntukan sebanyak RM35 juta daripada Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) bagi sektor pertanian, katanya.

“Kita ambil pendekatan bahawa kerajaan melabur RM35 juta dalam sektor pertanian. Apabila kita buat pelaburan, bererti kita mahukan pulangan,” katanya.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan sebagai wakil rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri, YB Datuk Haji Samsolbari Jamali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), YB Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), YB Dato’ Haji Mohd. Noh Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat), Hajah Shubanah Yusuf. – Makmur Johor

Kongsi berita ini