PONTIAN, 27 November: Persatuan Penulis Johor (PPJ)  digesa menjalinkan kerjasama dengan Akademi Pegawai Tadbir Negeri Johor (Akademi JCS) bagi membantu memperkasakan para pegawai tadbir negeri ini.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, akademi itu ditibuhkan bagi meningkatkan profesionalisme Pegawai Tadbir Negeri Johor.

Menurutnya, dengan pengalaman yang dimiliki ahli-ahli persatuan, sudah tentu kekuatan itu akan memberi kebaikan untuk negeri ini.

“Jika persatuan dapat menjalinkan kerjasama secara langsung dengan akademi ini, berdasarkan kelebihan yang ada pada Persatuan Penulis Johor, saya amat yakin dan percaya bahawa peranan dan matlamat kewujudan akademi ini akan menjadi lebih mantap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-43 dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Penulis Johor di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama penuh kepada persatuan dalam merealisasikan perkara itu. 

“Saya akan bantu dan beri sepenuh kerjasama supaya kelebihan yang ada yang bernaung di bawah Persatuan Penulis Johor apabila ia digabungkan dengan matlamat dan hala tuju Akademi JCS ini, ia akan menjadi satu kekuatan yang akan dapat kita gemblengkan,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini